Isnin, September 27, 2004

"siapa tak sayang bini"


Ini gambar aku dengan "bini" aku kat rumah...nama dia Azizah macam dalam lagu P.Ramlee. Aku sayang dia dan dia pun sayang kat aku...tu pasal kadang-kadang dia cemburu kat aku...lagi pun aku ni hensem kot. Pastinya dialah satu-satunya isteri yang aku sayang.. Posted by Hello

Ahad, September 26, 2004


*aku,isteri dan pengantin* Posted by Hello

Sabtu, September 25, 2004

aku ke majlis perkahwinan

18 hb. September, hari sabtu bersaman 3 Sya'aban 1425...aku sekeluarga pergi ke Felda Jelai 4, Negeri Sembilan. Abang ipar isteri aku (biras aku) buat majlis perkahwinan anak perempuan dia.

Ini kali ke dua dia buat majlis perkahwina...meriah sungguh, ada "KARAOKE" le... abang ipar aku En. Hashim (Lasim) pun gasak nyanyi sama. Aku syorkan kat dia beli set karaoke kat rumah.

Aku nak cerita sikit pasal orang yang rewang kat majlis tu...bagus betul...patut dipuji. Segala nya teratur dan kemas, orang rewang pun ramai. Kat sini majlis habis sebaik sahaja pengantin lelaki sampai kira-kira jam 3.00 petang. Lepas tu kerusi mej dikemas...licin...siap bersihkan sekali. Tak le macam tempat aku, majlis habis jam 6.00 petang dah tu orang rewang terus aje balik...tak berkemas, tunggang-langgang.

Pada hari tu ada juga orang yang 'frust" sebab gambar yang diambil semuanya tak memuaskan...'blur" habis. Kepada Cik cem dan Angah...belilah kamera baru...

Kepada pengantin "Nora dan suami"...jadi jangan tak jadi...


atuk dah meninggal...

Pada 12/09/2004 (Ahad), aku sekeluarga balik kampung isteri aku kat Batu Pahat...atuk isteri aku meninggal dunia. Atuk isteri aku ni dah tua...dah lama sakit dan tak boleh jalan. Semasa dia hidup emak mertua aku bergilir-gilir menjaga nya dengan biras dia.
Aku nak cerita ni bukan pasal atuk isteri aku yang dah meninggal tu, tapi pasal orang yang hidup semasa atuk isteri aku meninggal pada hari tu. Macam ni...atuk isteri aku ni dikebumikan awal kira-kira jam 10.00 pagi...jadi adalah kaum kerabat yang tak dapat nak tengok jenazah arwah ni buat kali terakhir... aku sendiri pun tak sempat. Jadi adalah yang marah apasal jenazah di kebumikan awal dan tak tunggu kaum kerabatnya semua balik.
  • Urusan jenazah adalah fardu kifayah, kita patut berterima kasih kepada orang-orang yang menyempurnakannya...sanggup ke kita nak uruskan sendiri.
  • Urusan jenazah perlu disegerakan...jenazah pun tak terseksa tunggu lama-lama, orang yang menguruskannya pun mempunyai urusan mereka sendiri pada hari tu.
  • Keadaan jenazah yang sudah tua, kerap mengeluarkan najis...nanti bila telah siap dikapan, keluar najis lagi...siapa pula nak cuci dan buat semula.
  • Paling penting di lain kali tengok-tengoklah orang tua selalu sementara mereka masih hidup terutama semasa mereka sedang sakit. Bertahun-tahun tak jenguk bila dah meninggal baru sibuk...salah siapa?

Tak perlu marah-marah..sendiri mau ingat...atuk pun dah meninggal...sekarang emak mertua aku dapat jaga pak mertua aku dengan tumpuan 100%.

Ahad, September 05, 2004

khas buat isteri ku

*Petikan motivasi khas buat tatapan isteri ku tercinta...*


Motivasi oleh: DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj
Tajuk: Panduan mengenali lelaki baik

Lelaki jujur tidak gemar kalau dia dicurigai. Dia juga tidak suka dikatakan sedang menyembunyikan sesuatu. Lelaki jujur biasanya cemerlang dalam pelajaran ataupun pekerjaan. Dia tidak punya masa untuk bermain sembunyi-sembunyi. Dia suka berterus terang dan dia mahu orang mempercayai kata-katanya. Kalau dia dicurigai dia boleh berasa amat kecewa dan boleh bertindak bodoh.

Misalnya, seorang suami yang memang tiada apa-apa skandal di luar, jika isterinya tidak habis-habis melemparkan kata-kata curiga, dia boleh bertindak betul seperti apa yang dikatakan oleh isterinya itu.

“Aku jujur pun isteri aku kata aku tak jujur. Baiklah aku tak payah jujur.” Dikhuatiri kata-kata begini mula terdapat di dalam hatinya. Dia mungkin tidak bertindak songsang pada waktu terdekat, tetapi apabila titik hitam mula terbentuk di hatinya lambat laun, ia mungkin terjadi.

Begitu juga seorang lelaki jujur dalam kategori tunang ataupun teman. Orang jujur memang tidak patut dicurigai. Sebenarnya bukan orang jujur saja, siapa pun tidak suka jika dia dikatakan tidak baik, meskipun dia memang tidak baik. Jadi, cuba bayangkan perasaan seorang yang baik tetapi asyik dicurigai.

Persoalannya bagaimanakah hendak mengenali lelaki baik? Memang sukar namun kita perlu berpegang pada satu-satu prinsip untuk dijadikan panduan. Kita boleh kata tak semestinya begitu dan tak semestinya begini, tapi jika kita terus berkata begitu, kita tidak akan mencapai kesudahan. Kita akan menjadi seorang jurutikai dan tiba-tiba tanpa kita sedar dia sudah pun meninggalkan kita kerana tidak tahan dengan kerenah kita.

Oleh itu, jadikan apa yang akan saya paparkan di bawah ini sebagai panduan saja. Tidak semestinya betul, harus salah.

Lelaki itu jujur jika:
1. Dia seorang yang cemerlang dalam usaha yang dilakukannya. Tidak semestinya betul tetapi kita boleh berpegang lelaki yang sibuk membina kecemerlangan diri memang tidak sempat untuk membina cinta-cinta palsu. Mana mungkin seorang yang sibuk menguruskan perniagaan ataupun tekun melakukan kerjanya ataupun seorang pelajar yang sibuk menelaah ada masa untuk mempermainkan wanita.
2. Dia seorang yang kuat pengamalan agamanya. Tidak semestinya betul sebab orang yang kuat beribadah pun tidak terlepas daripada godaan syaitan, malah semakin besar serbannya semakin besar pula syaitannya. Namun, tentulah lebih ramai yang sempurna hasil kuat peribadahan agamanya berbanding yang ambil tidak peduli dengan agamanya.
3. Dia seorang yang amat mengambil berat tentang keluarganya. Seorang lelaki yang baik pasti seorang yang amat disenangi oleh seluruh ahli keluarganya. Tumpuannya pada kerjaya, keluarga dan TUHAN.

Gabungan ketiga-tiga aspek ini menjadikan seseorang lelaki itu ‘sempurna’. Dia sudah tentu tidak punya masa untuk menjalin hubungan-hubungan ‘luar biasa’ sebab kesibukannya bersama kerjaya, keluarga dan TUHAN.

Kerjaya menjadikannya seorang yang sibuk untuk mengejar matlamat, keluarga sandarannya untuk menjadi seorang penyayang dan bertanggungjawab. TUHAN pula menjadi pengharapannya demi kehidupan yang lebih baik dan sempurna serta kekal abadi. Apakah anda fikir seorang lelaki yang mempunyai tiga aspek begini masih patut dicurigai?

Ramai suri rumah akhirnya ditinggalkan kerana terlalu prasangka, menyangka yang bukan-bukan serta merangsang suami dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas. Nasihat saya, berilah kepercayaan padu kepada suami anda selagi belum terbukti sesuatu. Selagi ia berlegar dalam pemikiran ia tidak perlu dilayan.

Selamat membina perhubungan intim dan jadilah orang yang ceria serta bahagia sepanjang hidup kita. Saling mempercayai lebih bagus daripada saling mencurigai.


*Aku sendiri pernah menangis bila terasa kesetiaan aku dipersoalkan dan isteri seperti tak mempercayai aku. Ikrar aku untuk isteri ku, "Sesungguhnya aku amat menyintai dan menyayangi diri mu dengan sepenuh hati ku. Semuga Allah sentiasa memelihara perhubungan kita berdua dan keluarga, hidup di dalam kesejahteraan di dunia dan di akhirat...Amin.*

Rabu, September 01, 2004

Hari Kemerdekaan Malaysia Ke 47

Semalam 31hb Ogos merupakan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 47. Aku bangga menjadi rakyat Malaysia yang merdeka. Aku harap kemerdekaan ini akan kekal buat selama-lamanya. Macam-macam cara rakyat Malaysia ni raikan hari kemerdekaan..gantung bendera..letak bendera atas kereta..macam-macam..asalkan mereka ni gembira dah le. Aku tengok yang lebih gembira ialah pasangan remaja yang menghadiri pesta-pesta dan konsert-konsert hari kemerdekaan. Merdeka sungguh..merdeka sebab dapat bersama dengan penuh kebebasan. Semangat sungguh bila laungkan..Merdeka! Merdeka! Merdeka!..bila pakwe atau makwe ada di sisi. mereka ni laungkan kemerdekaan tu untuk apa agaknya?