Selasa, Disember 29, 2009

Ke HSA untuk PERKESO

Hari ini jam 7:30 pagi aku dengan ditemani isteri pergi ke Hospital Sultanah Aminah untuk berjumpa Doktor Perkeso berkenaan tuntutan Ulangkaji Hilang Upaya Kekal. Sampai jam 8:30 pagi.. seperti biasa susah untuk mencari petak parkir kosong di sini. Akhirnya aku park kat luar petak aje.

Aku dapat giliran no. 16, ingatkan perjumpaan ni untuk pemeriksaan dan pengiraan.. tetapi rupanya sekadar pengesahan tuntutan aje. Maknanya aku kena datang lagi ke tempat ini selepas doktor mengesahkan permohonan aku.

Nasib le.. bukan senang nak tuntut duit ni.

Perjalanan Krismas..

24/12/2009 lebih kurang jam 8:00 malam aku dan famili bergerak ke kampung, ada majlis kenduri. Kenduri dijalankan selepas Mahgrib, tentunya bila kami sampai majlis tu dah selesai. Tidur dua malam di kampung.

26/12/2009 lebih kurang jam 10:00 pagi bergerak ke Segamat untuk ke rumah Abang Di, ada majlis pertunangan Kak Ngah (si kembar no.2).. Kak Long belum lagi. Sampai Segamat jam 12:00 tengah-hari. Majlis berlangsung kira-kira jam 2:00 petang iaitu selepas waktu Zohor. Malmnya ada majlis khenduri.. aku ingat nak balik petang tu, tapi tak jadi.

27/12/2009 selepas makan dan sembahyang, jam 2:00 petang kami bertolak balik ke Ulu Tiram. Perjalanan agak perlahan sebab banyak kenderaan, terutama di lebuhraya PLUS. Masa berhenti di RnR Machap, tersangkut dalam setengah jam.. berderet kereta masuk nak beli minyak. Sesuatu yang tak pernah aku lihat ialah orang perempuan beratur untuk ke bilik air. Aku dan famili sampai di rumah jam 5:00 petang. Oh ya.. Mamat (Farhan) ikut aku balik ke Ulu Tiram.

Banyak jemputan pada hari Krismas ni yang aku tak dapat pergi.. sorry.

Sabtu, Disember 19, 2009

Ziarah Izat..

Semalam selepas sembahyang Jumaat, kira-kira jam 2:30 petang aku ke rumah Izat di Taman Pelangi untuk berziarah sebelum beliau balik semula ke Qatar untuk kembali bekerja di sana.

Banyak cerita yang dibualkan, cerita tentang keadaan kerja di sana dan cerita tentang diri aku di sini. Kalau tak sakit mungkin aku juga akan mengikut jejak langkah mereka-mereka yang pergi ke benua Arab untuk bekerja.

Hari ini jam 10:45 pagi, beliau telah pun selamat berangkat ke Qatar melalui KLIA.

Rabu, Disember 16, 2009

Cubaan Celcom Broadband

14/12 ngan Erol aku ke Jusco Tebrau, ke kedai M One untuk langgan Celcom Broadband Advance RM98.00 sebulan. Bawa balik tak boleh pakai pulak..

15/12 malam aku ke Jusco sekali lagi dengan ditemani isteri aku dan membawa laptop aku sekali ke kedai M One. setelah di test dan dogodeh, confirm SIM kad rosak. Ganti SIM kad baru.. barulah OK.

Aku sedang cuba pakai dalam sebulan, kalau OK aku akan pakai terus dan POTONG aku punya streamyx. Lama dah pakai streamyx.. tapi akhir-akhir ni selalu sangkut-sangkut.. nak kena reset.

Ahad, November 22, 2009

Buat pemeriksaan kesihatan dan derma darah..

Pagi tadi jam 8:30 pagi aku dan isteri pergi ke Karnival Kesihatan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau yang diadakan di Dewan-raya Felda Ulu Tebrau.

Sampai aje, aku terus daftar untuk buat pemeriksaan kesihatan termasuk mata. Aku buat pemeriksaan mata dulu, kemudian pemeriksaan darah dan pemakanan. Mata OK, kandungan darah OK, cuma pemakanan tak OK.. Lemak tubuh 24.3% , sepatutnya 10-20% saja.. BMI 25.6 Pra-obes, tahap normal ialah 18.5-24.99.

Lepas makan kebab dan minum air, aku pun pergi ke tapak PSH untuk derma darah. Sebelum buat pemeriksaan darah kena puasa, kalau nak derma darah kena makan dulu..

Bini aku pula lain-lain OK, cuma ada lebih lemak.. biasalah orang perempuan kalau dah kahwin biasanya kat perut banyak lemak.. keh..keh.

Lepas tu aku pun balik kira-kira jam 11:30 pagi.

Jumaat, November 13, 2009

Lama tak tulis dalam blog ni..

Aku pun tak tahu nak tulis apa dalam blog ni.. kalau nak ikutkan banyak perkara yang aku boleh tulis. MALAS.. tu je jawapan mudahnya.

Pasal “kasut”, aku masih tak ambil lagi dari rumah Elham.. terima kasih lah untuk Elham, aku memang dah malas nak pergi kedai tu lagi.

Mengenai pekerjaan aku sekarang.. entahlah berapa lama aku boleh tahan agaknya. Nak minta kerja jauh pun, buat masa ni belum lagi la.. kerja memang banyak, nak atau tak nak aje. Alhamdulillah sebab dah ada B0 walaupun 11kV tapi bolehlah.. tahun depan cadang nak ambil 33kV pulak.. InyaAllah kalau larat.

Banyak persediaan aku dah buat untuk ambil “safety officer”, tengoklah macam-mana.. Sijil yang sepatutnya aku dah ambil, tapi tu la.. tak ada rezeki lagi kat situ.

Oh ya.. 12/11 lepas aku ada buat “safety audit” dengan dua orang AJKK yang lain kat tempat kerja. Aku buat audit di pejabat pengurusan/pentadbiran. ingatkan kawasan selamat, tak dapat banyak “hazard” la, tak sangka ada sepuluh “item” keadaan tak selamat ditemui. Itu baru kawasan pejabat, kalau bahagian pengeluaran macam-mana agaknya.. Laporan pun aku belum buat lagi.. buka mulut pasal “safety audit”, makanya aku dilantik jadi penyelaras audit..

Isnin, Oktober 26, 2009

Kasut

Nak cerita sikit pasal kasut ni.. Aku ada hantar kasut “safety” untuk tukar tapak di Kg Pasir Putih. Aku hantar pada 17/10, tukang tu kata siap esok.. bila aku datang esoknya 18/10, tak siap pulak.

Aku tinggalkan no hp, minta dia telepon kalau dah siap atau aku akan datang ambil pada minggu depan.

Makanya aku datang semalam 25/10, didapati kedai tutup dan tiada orang. Aku datang hari ni 26/10, kedai tutup juga.. tuan punya ada di situ, dia kata kedai tutup seminggu pasal ada kerja memperbaiki hadapan kedai. Bengang aku.. esok baru dia buka kedai seperti biasa.

Pasal kasut tu dia kata lupa nak telepon aku.. kasut dah siap, esok dia suruh aku datang ambil.

Lepas ni aku nak promo orang lain ke kedai tu untuk baiki kasut..maaflah. Bayangkan kalau upah baiki kasut RM45 + 3 kali aku pergi balik dari Ulu Tiram ke Kg Pasir Putih melalui Lebuhraya Senai-Desaru dengan tol RM4.70.. dah jadi berapa nilai kasut aku tu.. RM73.20, tu belum campur sekali lagi aku nak kena datang untuk ambil nanti. Rasanya dah boleh beli kasut baru.

Inilah masalahnya orang kita berniaga..kemahiran kerja ada, kelengkapan ada, tempat strategik..malang, pengurusan dan perhubungan pelanggan lemah.

Kasut oh kasut.. nak kena ambil juga..

Ahad, Oktober 04, 2009

Erol balik ke Kedah

Pada 25/09/2009, hantar Erol ke bus-stand Johor Jaya untuk balik ke Kedah menaiki bas ekspres Super Nice jam 9:30 malam.

20090925_0002 (Medium)

Hariraya Tahun Ni..

Tahun ni aku berhari raya di kampung. Malam raya tu, aku dan keluarga singgah sekejap di rumah emak Felda. Kira-kira jam 10 malam barulah bergerak ke kampung di Parit Kuda, Batu Pahat.

Hari raya kedua aku dah balik semula ke sini kira-kira jam 12 tengah-hari dan sampai di Felda kira-kira jam 3 petang untuk berhari-raya di sini.

Hari raya ke empat aku dah bekerja semula.. hari raya kedua pun aku dah kena singgah di kilang, sebab ada lighting black-out. Dah macam kilang aku dah..

Sabtu, Ogos 29, 2009

Aku dah kerja..

Pada 20hb. Ogos lepas aku telah mula bekerja semula sebagai Chargeman di sebuah kilang di Ulu Tiram. Mengeluarkan produk berasaskan getah dan mempunyai pekerja lebih kurang 120 orang. Merupakan pepasangan lama dengan bekalan masuk 11 kV dari TNB.

Gaji yang aku terima cuma RM3000 saja, lebih rendah dari yang aku terima sebelum ini. Namun sebagai permulaan, bolehlah dari tiada kerja langsung, setelah hampir 12 bulan tak bekerja.

InsyaAllah semuga hari-hari mendatang rezeki aku sekeluarga akan bertambah baik…Alhamdulillah, syukur….

Isnin, Julai 27, 2009

Cik Yah di Hospital Putrajaya

25/07/09 aku dan keluarga kecuali Erol (belajar di Kedah) serta Emak dan Long pergi  ke Putrajaya untuk melawat Cik Yah yang sedang menjalani rawatan di Hospital Putrajaya.

Sampai pada jam 2:30 petang, singgah di rumah Cik Yah/Isma dan melawat Cik Yah pada jam 4:30 petang hingga jam 7:15 malam. Aku tidur di rumah Cik Yah satu malam.

Pada 24/07/09 hari Jumaat, Cik Yah telah selamat menjalani satu sesi pembedahan.

Image001

26/07/09 kami balik ke Johor setelah melawat Cik Yah di hospital pada jam 12:00 hingga jam 1:30 tengah-hari.

Semuga Cik Yah cepat sembuh dan tabah menghadapinya..amin.

Khamis, Julai 16, 2009

Erol selamat mendaftar di KMKN

Pada 12hb. Julai, 2009 jam 8:00 pagi Erol telah selamat mendaftar masuk untuk program foundation in science and technology di Kolej Mara Kuala Nerang, Kedah. Walaupun cuaca sejak dari aku datang dan sampai aku balik hujan turun tampa henti, alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Image002

Pertama mendaftar, FIST 09001

Perjalanan untuk pergi mendaftar bermula pada 10hb, petang Jumaat. Sampai di rumah Cik Yah ,Putrajaya kira-kira jam 7 mlm. Tumpang tidur di sini, bertolak keesokannya jam 10 pg, 11hb. terus ke Kuala Nerang.

Tiba di Kuala Nerang jam 5:00 ptg. Tidur di Hotel Bajet Hj. Sobri di Pokok Sena, kira-kira 10km dari kolej disebabkan tempat penginapan berdekatan kolej di Kuala Nerang dah penuh.

Pendaftaran dan lain-lain urusan selesai pada jam 2:30 ptg. Aku dan keluarga, kecuali Erol.. memulakan perjalanan balik ke Johor, selepas makan dan solat zohor.

Sampai di Ipoh pada jam 6:00 ptg, tidur di rumah Along Zana, Taman Klebang Restu, Chemor.

13hb. Julai,2009 jam 10:00 pg. meneruskan perjalan balik ke Johor bersama Anas.

Image006Anas di Hentian Jejatas Ayer Keroh

Alhamdulillah, selamat sampai ke rumah kira-kira jam 4:00 ptg.

* Terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam urusan ini. Cik Yah dan Along Zana.. tempat persinggahan. Tak lupa buat Pak Wan yang tolong tengok-tengokkan rumah semasa ketiadaan aku.

Rabu, Julai 01, 2009

“Orang Berbudi Kita Berbahasa”

Semalam jam 2 ptg aku hantar Erol ke HSA, Jabatan Pesakit Luar untuk pemeriksaan perubatan dan ambil keputusan ujian darah dan x-ray.

Alhamdulillah, proses untuk pemeriksaan berakhir kira-kira jam 4:30 ptg walaupun ada  masalah mengenai borang periksaan perubatan dari MARA yang sepatutnya dua salinan tetapi aku dan Erol bawa satu saja.

Justeru aku nak ucapkan jutaan terima kasih kepada staf-staf di Pejabat Am yang telah membantu, khasnya Puan Maziah (harap betul nama ni) di Jabatan Imej (x-ray) yang membenarkan aku menggunakan komputernya untuk print-out borang  tu.

Ini kali kedua mereka tolong aku ni…

Tak lupa juga jutaan terima kasih untuk doktor dan jururawat di bilik 16 dan 9, kerana buat kerja dua kali untuk anak aku.

Terima kasih semua.

“Orang Berbudi Kita Berbahasa”

Isnin, Jun 15, 2009

Selamat jalan..

Semalam jam 4:30 ptg aku pergi ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, jumpa Izat yang berangkat untuk bekerja di Qatar.

Jumaat, Jun 12, 2009

Hantar Erol Buat Pemeriksaan

Hari ni jam 7:30 pagi hantar Erol ke Klinik Pesakit Luar, HSA untuk buat pemeriksaan perubatan.

Ambil sampel darah , air kencing dan x-ray. Ingat free, rupanya kena bayar RM130.00.

Jam 10:30 pagi baru selesai, pada 30/06/2009 baru ada temujanji dengan doktor untuk final examination.

Sebab tak bawa surat tawaran kemasukan dari MARA, nyaris kena balik. Nasib baik aku bawa thumb-drive yang mengandungi segala maklumat, minta tolong staf di pejabat am print-outkan surat tawaran tu.

Terima-kasih kepada semua staff Klinik Pesakit Luar HSA yang terlibat dalam urusan aku hari ni kerana banyak membantu.

Sabtu, Jun 06, 2009

Majlis Persandingan

Aku sekeluarga menghadi majlis persandingan Wawa anak  Encik Masrom di Ladang Bukit Payung, Mersing.

IMG_0021

Rabu, April 22, 2009

Kereta Kancil Aku..

Pada 19/04/2009, kira-kira jam 4:00 petang, kereta Kancil aku JDX 4145 telah mengalami “overheat” pada enjinnya. Kejadian ini disedari oleh anak aku yang sedang memandu bila melihat penunjuk suhu enjin naik tinggi.

Bila diperiksa didapati “pipe connector” telah patah, menyebabkan kebocoran air dan “cooling system” tak berfungsi.

Image000

Ini lah rupa “pipe connector” tu.

Masa ni aku tak tahu lagi yang sebenarnya “head gasket” Kancil ni dah terbakar dan air dah pun masuk dalam enjin.

Aku pinjam “pipe connector” lama dari workshop dan pasang  kat Kancil, tuang air dalam radiator dan bawa balik Kancil ke rumah.

Di rumah baru aku tahu gasket dah terbakar, minyak enjin dah jadi warna susu.. sah nak kena “top overhaul”.

20/04/2009, jam 9:00 pagi.. ambil pomen datang rumah untuk tengok kereta, sebab aku takut nak “start”. Dia kata tak perlu tarik, boleh jalan sampai workshop.

Hari tu kena keluar duit RM800.00, buat “top overhaul”, banyak barang kena tukar. “Water pump”, “water pipe”, “pipe connector” dan “hose”  semua tukar. Apa-apa paip yang karat dan getah hose yang dah mati, aku suruh pomen tu tukar. “Timing belt” pun aku suruh tukar baru, sebab benda ni bukan boleh kena minyak.

Image003  Image004

Inilah jadinya bila “cooling water system” tak berfungsi.

Image005   Image006

“Water pump” baru dan “head gasket” baru.

Image007

“Pipe connector” baru, “metal type”.

*Amaran untuk pemilik Kancil lama macam aku.. kalau masih gunakan “pipe connector” asal baik cepat-cepat tukar. Sebab penyambung asal tu dibuat daripada plastik, gantikan dengan “metal”.

Selasa, April 14, 2009

Lama sungguh tak up-date laman ni…

Lama sungguh aku tak up-date laman ni..  Banyak perkara yang dibuat.. lupa pulak aku tentang laman ni.

Anak aku pun dah balik ke sekolah lama.. Duduk asrama 3 hari 2 malam je.

Selasa, Mac 03, 2009

Hantar Rahieza daftar masuk ke SMTJB

Pagi ni jam 8:00 pagi aku dan isteri menghantar Rahieza mendaftar masuk ke Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru.

Semua urusan sekolah dan asrama selesai kira-kira jam 3:45 petang.

Penat.

Selasa, Februari 24, 2009

Jumpa Jemaah Doktor Rayuan Perkeso

Kira-kira jam 8:30 pagi, aku bersama isteri bertolak dari rumah untuk menghadiri sesi pertemuan dengan Jemaah Doktor Rayuan Perkeso bertempat di Poliklinik Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, berkenaan rayuan permohonan pencen ilat.

Sebenar pertemuan itu dijadualkan pada jam 10:00 pagi, tetapai aku keluar awal sebab hendak singgah di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru untuk hantar surat rayuan permohonan anak aku Rahieza,

Kira-kira jam 9:45 pagi, maka sampailah aku di HSA tu, hendak parking kereta punyalah susah. Akhirnya dapat juga tempat parking walaupun jauh dari tempat nak dituju.

Aku dapat nombor 16, tapi jam 11:30 pagi dah siap dah.

Kali ini aku rasa amat berpuas hati dengan penerangan dari dua orang panel doktor Perkeso ni. Kemungkinan besar aku tak dapat pencen ilat ni, sebab aku masih boleh berjalan.  Mereka berdua menzahirkan rasa simpati terhadap apa yang aku alami dan  menyatakan sepatutnya aku memohon HUK untuk kali kedua (rujukan kes), untuk menaikkan peratus hilang upaya kekal. Mereka berdua mengesyorkan aku untuk buat permohonan HUK ni untuk kali kedua.

Nampaknya aku telah banyak buang masa untuk buat permohonan pencen ilat ni, sebab sebelum ni tiada orang yang beritahu pun yang membolehkan permohonan HUK boleh diulang-kaji.

Terima kasih doktor.

Selasa, Februari 17, 2009

Cabut Gigi

Pagi ni ke Klinik Kesihatan Ulu Tiram untuk cabut gigi aku yang dah goyang dan sakit. Cuma hari Selasa aje ada klinik gigi kat sini.

Aku dapat nombor 30, ingatkan kena tunggu lama.. jam 10:30 dah siap dan aku pun balik.

Terima kasih di atas perkhidmatan yang memuaskan dari doktor dan jururawat. Bayaran pun murah, pendaftaran RM1.00 dan cabut RM1.00.

Jumaat, Januari 30, 2009

Ke JPJ Negeri Johor

Kira-kira jam 10:00 pagi ke JPJ negeri untuk mohon salinan LKM motor JLJ 625 yang hilang semalam.

Terima kasih di atas perkhidmatan yang mesra, cekap dan pantas, dari kaunter  pertanyaan, kaunter nombor dan khasnya kaunter 21 [kaunter mohon salinan].

Terima kasih buat Puan Normah Ali di kauter 21, perkhidmatan cukup mesra dan memuaskan.

Khamis, Januari 29, 2009

Diskusi bersama calon A0 di MMHE

Semalam dan hari ini aku menghadiri diskusi bersama bakal calon yang akan mengambil peperiksaan penjaga jentera elektrik A0 di MMHE.

Sukatan pelajaran yng didiskusikan ialah mengenai alatubah atau transformer.

Selasa, Januari 20, 2009

Accoxia 120mg

Dah lama aku tak makan pil Accoxia 120mg, pil untuk tahan sakit belakang. Dah tak boleh tahan sakitnya, maka terpaksalah aku telan.

Dah tiga hari sakit belakang ni, iaitu selepas aku pasang dawai baru pada pagar rumah.

Duduk lama tak boleh, diri lama pun tak boleh.. baring aje.

Itupun  Jemaah Doktor kata aku tak ilat….

Ahad, Januari 18, 2009

Ziarah

Pagi ni pergi ke rumah Ngah di Taman Perling, ziarah arwah Im yang kembali ke Rahmatullah semalam kira-kira jam 9:20 malam.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif kira-kira jam 10:00 pagi.

Semuga roh Allahyarham dicucuri rahmat.. Amin.

Isnin, Januari 12, 2009

Hantar permohonan kepada JDR

Hari ini jam 9:30 pagi aku ke Pejabat Perkeso di tingkat 12 Menara Ansar, aku hantar borang Permohonan Kepada Jemaah Doktor Rayuan.

Jangan nanti doktor-doktor ni periksa kaki dan tangan aku lagi. Aku ni setakat nak tumbuk orang, nak sepak orang boleh lagi, cuma pinggang aje yang sakit bila duduk atau berdiri lama.

Kalau tak sakit, tak le kena buang kerja.

Jumaat, Januari 09, 2009

Aku tak Ilat

Itulah keputusan Jemaah Doktor yang aku terima dari Perkeso hari ini. Makanya terpaksalah aku membuat rayuan.

Rabu, Januari 07, 2009

Bila orang dianggap mengidap keilatan

AKTA KESELAMATAN SOSIAL PEKERJA
1969, Seksyen 16 [pindaan hingga 1 Januari 2006]

16. (1) Seseorang berinsurans hendaklah dianggap sebagai
mengidap keilatan, jika, oleh sebab sesuatu keadaan uzur tertentu
yang berkekalan, dia tidak berupaya mengambil bahagian dalam
apa-apa kegiatan yang mendatangkan keuntungan yang bermakna.

(2) Bagi maksud subseksyen (1)—
       (a) sesuatu keadaan uzur hendaklah disifatkan sebagai
berkekalan jika keuzuran itu sama ada tidak boleh
diubati atau tidak mungkin boleh diubati;

       (b) seseorang itu hendaklah disifatkan sebagai tidak
berupaya mengambil bahagian dalam kegiatan yang
mendatangkan keuntungan yang bermakna, jika oleh
sebab keadaan uzur tertentunya kerana sakit atau
kelemahan itu dia tidak lagi berupaya mencari nafkah,
dengan kerja yang berpadanan dengan kekuatan dan
tenaganya, yang, dengan memandang kepada latihan
dan pekerjaannya yang dahulu, boleh dengan berpatutan
diberikan kepadanya di tempat kerjanya atau di
sesuatu tempat seumpama itu di kawasan yang
berdekatan atau di daerah yang sama, sebanyak satu
pertiga daripada pendapatan yang biasa bagi seseorang
yang sempurna akal dan sihat tubuh badannya yang
mempunyai kelulusan dan latihan yang sepertinya;

       (c) pada menentukan sama ada pihak menuntut mengidap
keilatan, pertimbangan hendaklah diberikan tentang
apa-apa kepulihan kekal mengenai keadaan keilatannya
yang terhasil atau dijangka terhasil daripada apa-apa
langkah pemulihan tenaga atau vokasional yang mungkin
diberikan kepadanya dengan percuma oleh Pertubuhan.

*  Atas sebab-sebab di ataslah aku diberhentikan kerja, sebab tak ada perkataan pun yang melarang majikan dari memberhentikan pekerja yang  dianggap uzur dan tak menguntungkan majikan.

* Kalau Perkeso kata  tak ilat, boleh ke Perkeso berikan aku pekerjaan yang sama atau paksa bekas majikan ambil aku bekerja semula?

Selasa, Januari 06, 2009

Jumpa Jemaah Doktor PERKESO

06/01/2009 jam 2:15 ptg bersama isteri aku sampai di Poliklinik Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk jumpa Jemaah Doktor Perkeso mengenai permohonan pencen ilat.

Aku dapat nombor 34 dari 37 orang yang hadir, jam 4:45 ptg baru aku balik.

Soalan pertama doktor ialah adakah aku dah buat pembedahan, jadi aku tunjuklah dokumen yang aku bawa.

Dokumen yang aku bawa ialah filem x-ray, salinan surat cuti sakit dan salinan surat kerja ringan yang diberi oleh doktor selepas pembedahan kedua. Aku dah dua kali buat pembedahan tulang belakang.

Tak lupa surat pemberhentian kerja dari bekas majikan turut aku bawa bersama.

Mereka cadangkan aku buat laporan di Pejabat Tenaga Kerja mengenai cara dan sebab aku diberhentikan. Aku beritahu mereka yang perkara ni dah pun aku laporkan. Pihak Jabatan Tenaga Kerja menyatakan cara aku diberhentikan kerja adalah sah mengikut Akta Kerja 1955.

Aku ni pun mohon pencen ilat sebab terpaksa sebab dah kena buang. Majikan kata tanggung-jawab Perkeso untuk tanggung orang macam aku, sebab kilang tempat bekerja, bukan tempat kebajikan.

Kalau majikan tolak, Perkeso juga tolak, pekerja seperti aku macam mana?

Di sini aku nak cadangkan untuk mengelakkan pekerja seperti aku teraniaya, kerajaan sepatutnya memasukkan ke dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja supaya pihak majikan dilarang  membuang pekerja yang menerima faedah hilang upaya kekal selagi mereka belum disahkan ilat dan layak menerima pencen ilat oleh Perkeso.

Mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Seksyen 53, hanya penerima faedah hilang upaya sementara saja yang dilarang dibuang kerja oleh majikan.

Sekang ni sedang tunggu keputusan dari Jemaah Doktor Perkeso samada aku ilat atau tidak.

Sabtu, Januari 03, 2009

Bantahan Terhadap Israel

Wajib bagi setiap muslim menyatakan bantahan terhadap yahudi terkutuk atas apa yang sedang berlaku di Ghaza. Darah rakyat Palestin ditumpah tanpa dosa, sedangkan mereka saudara seagama dengan kita. Zahirkan bantahan tersebut melalui berbagai cara terhadap Israel, juga pelindungnya Amerika.

Gambar: DRMAZA sertai demonstrasi di London di hadapan Kedutaan Israel membantah pembunuhan di Ghaza.

Demikian juga Mesir dan Jordan yang tidak membuka sempadan bagi menyelamatkan rakyat Palestin. Bantahan boleh dibuat dalam berbagai bentuk dengan syarat caranya tidak bercanggah dengan Islam. Saya sendiri pada hari mesej ini ditulis sudah dua hari berturut-turut menyertai demonstrasi di hadapan Kedutaan Israel di London.

* Sumber: drmaza.com

Penguatkuasaan Pemakaian Tali Pinggang Keledar Belakang

Bermula 1 Januari 2009, peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang
akan dikuatkuasakan ke atas semua jenis kenderaan kecuali kenderaan-kenderaan seperti
berikut:
1. kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995;
2. kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995, tetapi tidak dilengkapi dengan anchorage points;
3. kenderaan komersil termasuk teksi dan kereta sewa;
4. kenderaan penumpang yang mempunyai lebih dari 8 tempat duduk tidak termasuk tempat duduk pemandu; dan
5. kenderaan barangan yang mempunyai had muatan barangan melebihi 3.5 tan.

Bagi kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 dan mempunyai anchorage points, tetapi tidak dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang, pemilik kenderaan tersebut
diberi tempoh selama 3 tahun untuk memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

Tempoh 3 tahun bermula dari 1 Januari 2009.
Kerajaan telah mendapat kerjasama dari pihak industri dan beberapa pembuat kenderaan untuk memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang secara percuma bagi kenderaan yang masih belum dipasang dengan tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

Sekiranya bilangan penumpang melebihi dari bilangan tali pinggang tempat duduk belakang, pemandu kenderaan tersebut bertanggungjawab untuk memastikan kesemua tali pinggang
keledar tempat duduk belakang yang ada digunakan sepenuhnya.

Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemandu kenderaan tersebut.

Peraturan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 sedia ada berkenaan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk hadapan adalah masih terpakai ke atas semua jenis kenderaan.

* Sumber jomklik.panducermat.org

* Kenapa ada pengecualian, sepatutnya semua kenderaan diwajibkan. Semua kenderaan berpotensi untuk dipandu laju dan terlibat dalam kemalangan.

Khamis, Januari 01, 2009

2009

Hari ini Khamis, 01/01, adalah permulaan tahun baru 2009.

Keazaman aku macam dulu-dulu juga, untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

image 

"Wahai Tuhan kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah Kami dari azab neraka"

Amin.