Selasa, Januari 06, 2009

Jumpa Jemaah Doktor PERKESO

06/01/2009 jam 2:15 ptg bersama isteri aku sampai di Poliklinik Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk jumpa Jemaah Doktor Perkeso mengenai permohonan pencen ilat.

Aku dapat nombor 34 dari 37 orang yang hadir, jam 4:45 ptg baru aku balik.

Soalan pertama doktor ialah adakah aku dah buat pembedahan, jadi aku tunjuklah dokumen yang aku bawa.

Dokumen yang aku bawa ialah filem x-ray, salinan surat cuti sakit dan salinan surat kerja ringan yang diberi oleh doktor selepas pembedahan kedua. Aku dah dua kali buat pembedahan tulang belakang.

Tak lupa surat pemberhentian kerja dari bekas majikan turut aku bawa bersama.

Mereka cadangkan aku buat laporan di Pejabat Tenaga Kerja mengenai cara dan sebab aku diberhentikan. Aku beritahu mereka yang perkara ni dah pun aku laporkan. Pihak Jabatan Tenaga Kerja menyatakan cara aku diberhentikan kerja adalah sah mengikut Akta Kerja 1955.

Aku ni pun mohon pencen ilat sebab terpaksa sebab dah kena buang. Majikan kata tanggung-jawab Perkeso untuk tanggung orang macam aku, sebab kilang tempat bekerja, bukan tempat kebajikan.

Kalau majikan tolak, Perkeso juga tolak, pekerja seperti aku macam mana?

Di sini aku nak cadangkan untuk mengelakkan pekerja seperti aku teraniaya, kerajaan sepatutnya memasukkan ke dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja supaya pihak majikan dilarang  membuang pekerja yang menerima faedah hilang upaya kekal selagi mereka belum disahkan ilat dan layak menerima pencen ilat oleh Perkeso.

Mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Seksyen 53, hanya penerima faedah hilang upaya sementara saja yang dilarang dibuang kerja oleh majikan.

Sekang ni sedang tunggu keputusan dari Jemaah Doktor Perkeso samada aku ilat atau tidak.